PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa nyata berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya, lebih-lebih lagi berjaya membenam KL Plus FC dalam saingan Kumpulan A dengan 4 gol tidak berbalas, malam tadi.
Beliau yang ditemui di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, selepas tamat perlawanan, berkata Kelantan harus mengekalkan rentak permainan sekiranya mahu meneruskan saingan dalam Piala Malaysia edisi kali ini.
“Alhamdullilah, perlawanan malam ini nyata berpihak kepada Kelantan, ini adalah petanda yang baik untuk kemaraan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.
“Apa yang Kelantan perlu buat seterusnya? mereka hanya mengekalkan prestasi permainan seperti yang dipersembahkan pada malam ini,” katanya.
Annuar Musa turut menyatakan kesediaan Kelantan untuk bertemu Selangor dalam peringkat suku akhir.
“Kami tidak akan membuat apa-apa perubahan besar dalam kesebelasan utama, selain mempertingkatkan usaha bagi menghadapi pasukan Selangor.
“Walaupun bukan bermain di tempat sendiri tetapi saya rasa itu tidak menjadi masalah yang besar,” tambah Annuar Musa.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, sekiranya Kelantan ingin menjadi juara mereka harus lebih bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana pasukan.
“Selangor adalah satu pasukan yang kuat, jadi saya percaya perlawanan itu akan menjadi lebih sengit dan menarik. Apa yang penting, Kelantan berada dalam keadaaan mood yang baik.
“Saya rasa, bertemu Selangor di peringkat awal ataupun akhir sama sahaja. Kelantan harus bersedia bertemu sesiapa sahaja untuk menjadi Juara.
“Dengan sokongan moral oleh penyokong juga boleh membantu pasukan. Jika kita lihat, walaupun perlawanan pada malam ini ia disiarkan secara langsung di kaca televisyen, tetapi penyokongnya tetap datang ke stadium. Itu menunjukkan kesihatan bola sepak di Kelantan,” katanya. - liga-m.sokernet.com