Sunday, September 19, 2010

Hukum Kafa, Shabery kesal insiden bakar mercun


KEMAMAN – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek merasakan tindakan tegas diambil terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung insiden membakar mercun oleh segelintir penyokong pasukan itu Selasa lalu.

Ahmad Shabery berkata, sebelum ini penyokong Kelantan sudah memiliki rekod bertindak di luar batasan pada perlawanan akhir Piala Malaysia November tahun lalu yang menyaksikan penyokongnya membakar stadium, merosakkan harta benda dan membaling bunga api serta mercun sehingga mencederakan pegawai bertugas dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM138,150.

Sehubungan itu, menurutnya, adalah wajar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan tindakan tegas terhadap Kafa atas perlakuan segelintir penyokong The Red Warriors berkenaan.

“Amat mengecewakan apabila penyokong Kelantan sekali lagi mengulangi apa yang pernah dilakukan dalam perlawanan terdahulu seolah-olah mereka seperti tidak serik walaupun Kafa sering didenda dan dikenakan pelbagai hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini.

“Bagaimanapun, disebabkan tindakan melanggar undang-undang yang dilakukan oleh sebilangan penyokong ini, pasukan Red Warriors tidak wajar dipersalahkan,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Pada insiden yang menyaksikan kemenangan 1-0 Negeri Sembilan ke atas Kelantan itu, keaadaan tegang tercetus apabila pengadil memberikan tendangan penalti selepas pertahanan tuan rumah, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, keputusan pengadil itu mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati penyokong Kelantan, menyebabkan ada antara mereka bertindak membakar dan membaling mercun.

Akibat perlakuan liar penyokong The Red Warriors itu juga Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan atau kelate.net turut melahirkan rasa kesal kerana tindakan segelintir penyokong nakal itu, ia turut mencemarkan imej penyokong Kelantan yang lain. - Sinar Harian online

No comments:

Post a Comment